55 kematian, 12 di Kedah

Kes kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (6 Mac 2022), turun kepada 55 kes berbanding 67 yang dicatat semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Daripada jumlah kes kematian semalam, 16 melibatkan pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau ‘brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada kes BID itu turut melibatkan kalangan individu yang menjalani kuarantin di rumah.

Kes terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 33,228 kes, termasuk 6,869 kes BID.

Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan Kedah merekodkan 12 kes kematian, menjadikan kumulatif sebanyak 2,334 kes.

Sejak awal 2020 hingga semalam, Kedah merekodkan kumulatif positif sebanyak 249,717 kes, dengan 217,831 pesakit telah sembuh dan 29,552 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 28,816 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 168 ditempatkan di PKRC; 535 dimasukkan ke hospital; dan 33 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan taburan kematian mengikut kumpulan umur di Kedah dalam tempoh seminggu lalu, sebanyak 40.0 peratus melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 16.0 peratus (50-59 tahun); 14.0 peratus (70-79 tahun); 12.0 peratus (40-49 tahun); 10.0 peratus 60-69 tahun); dan masing-masing 4.0 peratus bagi kategori usia 18-29 tahun, serta 30-39 tahun.

Setakat 5 Mac lalu, seramai 1,579,519 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, manakala 1,643,626 atau 74.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 680,689 atau 43.8 peratus individu dewasa telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, Pulau Pinang merekodkan lapan kematian semalam, diikuti Johor (tujuh); Terengganu (enam); Kelantan (lima); dan masing-masing empat di Perak serta Selangor.

Dua kes kematian direkodkan di Melaka, Negeri Sembilan serta Perlis; dan masing-masing satu di Pahang, Sabah dan Sarawak.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Kuala Lumpur, Labuan, serta Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 6 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR