Jangkitan baharu Covid-19 naik kepada 5,403 kes

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 5,403 berbanding 4,543 yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan ringkas hari ini berkata jumlah itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 2,516,255 kes.

Manakala sehingga semalam, kumulatif kes sembuh pula mencecah 2,419,743 kes.

Terdahulu, KKM memaklumkan sehingga semalam, 61,760 kes masih aktif.

Daripada jumlah itu 48,042 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 7,698 ditempatkan di PKRC; 5,486 dirawat di hospital; dan 534 pesakit dimasukkan ke ICU, termasuk 263 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Melaka yang mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) merekodkan 2,914 kes aktif.

Daripada jumlah itu, 2,438 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 330 ditempatkan di PKRC; 131 dimasukkan ke hospital; dan 15 pesakit dirawat di ICU, dengan lima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 66,688 kes positif, dengan 63,005 pesakit disahkan sembuh. Sebanyak 909 kematian turut dilaporkan di Melaka sejak awal tahun lalu hingga semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 8 November 2021 untuk seluruh negara adalah 0.94.

Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatat RT 1.00 manakala Putrajaya RT 1.06.

Kadar kebolehjangkitan terendah dicatat di Perak dengan RT 0.84.

BERITA BERKAIT
POPULAR