53 kematian akibat Covid-19 hari ini, Kelantan rekod kes baharu tertinggi

Kelantan merekodkan lonjakan jangkitan baharu Covid-19 daripada 499 kes semalam kepada 706 kes dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu sejak awal tahun lalu sehingga semalam meningkat kepada 147,631 kes. Bagaimanapun, sehingga semalam seramai 140,209 pesakit dilaporkan sembuh, manakala 1,095 lagi meninggal dunia.

Sehingga semalam Kelantan merekodkan 5,621 kes aktif, dengan 4,388 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 654 pesakit ditempatkan di PKRC; 537 dimasukkan ke hospital; dan 42 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 20 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Sabah, Johor, Terengganu, dan Negeri Sembilan turut merekodkan peningkatan kes baharu berbanding semalam, namun tidak melepasi angka 500 kes.

Sabah mencatat 500 kes baharu berbanding 442 semalam; diikuti Johor dengan 444 kes baharu (432 semalam); Terengganu (282 kes baharu, 200 semalam); dan Negeri Sembilan (239 kes baharu, 174 semalam).

Kes di Lembah Klang kembali turun, namun Selangor kekal merekodkan jumlah jangkitan tertinggi sebanyak 1,144 kes berbanding 1,266 kes semalam.

Kuala Lumpur pula merekodkan 222 kes berbanding 278 kes semalam, manakala Putrajaya mencatat 52 kes berbanding 66 semalam.

Melaka yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri pada 20 November ini turut merekodkan penurunan daripada 216 kes semalam kepada 160 kes hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu purata kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi seluruh negara ialah RT 1.05

Putrajaya mencatat kadar kebolehjangkitan tertinggi iaitu sebanyak 1.20 diikuti Kuala Lumpur (1.05); Selangor (1.04); Negeri Sembilan (1.02); Pahang (1.02); dan Kelantan (1.01). Perlis dan Labuan masing-masing mencatat sifar RT.

Beliau juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak tiga kluster baharu dikesan, namun tidak memberikan perincian berkaitannya.

Dalam masa sama katanya, seramai 4,551 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 2,455,767 kes atau 96.2 peratus daripada 2,551,452 kumulatif positif.

Sebanyak 5,130 daripada kes hari ini adalah jangkitan tempatan, termasuk 207 daripadanya membabitkan bukan warganegara, dan 13 kes import yang turut melibatkan lima rakyat asing.

Seramai 526 pesakit kini dimasukkan ke ICU dengan 250 yang berada dalam kritikal memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 5,143 kes harian yang dilaporkan hari ini, 126 kes atau 2.4 peratus adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 5,017 atau 97.6 peratus pesakit lagi dalam kategori 1 dan 2,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, seramai 53 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh itu hari ini, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 29,729 kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR