
Antara pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya ditahan semula di tepi Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan.
Ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah melarikan diri awal pagi tadi, namun kebanyakannya berjaya ditangkap semula.
Enam daripadanya meninggal dunia jam 6.50 pagi ketika melintas jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan menghala selatan, di Jawi, Pulau Pinang.
Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 4 pagi dengan polis mengesahkan menerima maklumat pada jam 4.20 sebelum melancarkan gerakan memburu PATI terbabit.
Difahamkan seramai 528 daripada 664 tahanan Depot Imigresen Sementara, Sungai Bakap, Pulau Pinang yang ditempatkan sementara di depot Jalan Relau Bandar Baharu, termasuk wanita dan kanak-kanak telah melarikan diri.
Susulan itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan mengeluarkan hebahan bagi mencegah sebrang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Pihak Imigresen juga sudah memaklumkan kepada IPD Bandar Baharu untuk tindakan susulan kerana kawasan berkenaan di bawah pentadbiran Kedah.
Operasi menahan semula semua tahanan dilakukan Imigresen dengan bantuan IPD Bandar Baharu dan IPD Seberang Perai Selatan.
Hingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas dapat ditahan semula dengan operasi mengesan PATI yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.
Sidang media berhubung kejadian itu dijangka dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pagi ini.

Pendatang asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah, ditangkap semula di sekitar lebuh raya, pagi tadi.
Dalam kenyataan awalnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari depot berkenaan jam 4.30 pagi tadi.
“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan grill penghadang. Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
“Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari polis, RELA dan orang ramai.
“Sehingga jam 10 pagi ini seramai 362 tahanan telah berjaya ditangkap semula. Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari ini dipohon supaya memaklumkan kepada pihak JIM atau polis,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya berjaya menahan semula 229 PATI etnik Rohingya yang melarikan diri di kawasan Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan menghala selatan.
Katanya, seramai 88 orang lagi ditahan oleh penduduk kampung dan Jabatan Imigresen di kawasan tidak jauh dari depot itu.
“Polis Pulau Pinang membantu mengesan 205 orang tahanan lagi terdiri daripada kanak-kanak hingga warga emas dipercayai masuk ke negeri itu untuk melarikan diri,” katanya.

Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah, dipecahkan sebelum ratusan pendatang asing tanpa izin, termasuk wanita dan kanak-kanak melarikan diri.