50,826 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 sejak Januari 2022

Seramai 50,826 kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dijangkiti Covid-19 sejak awal Januari 2022 hingga pertengahan bulan ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut memberikan statistik pecahan kes melibatkan kanak-kanak iaitu:

  • Kategori 1: 15,817 kes (31.12%);
  • Kategori 2: 34,857 kes (68.58%);
  • Kategori 3: 120 kes (0.24%);
  • Kategori 4: 28 kes (0.006%); dan
  • Kategori 5: 4 kes (0.001%).

Beliau juga memaklumkan susulan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam negara, pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun juga semakin meningkat.

“Peningkatan dilihat lebih ketara dalam bulan Februari 2022 terutama bagi kategori 2 hingga kategori 5. Pola yang sama juga diperhatikan bagi penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak remaja 11 hingga 17 tahun.

“Ini mungkin disebabkan oleh penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi, lalu menyebabkan risiko pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kanak-kanak telah terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19 yang telah mengganggu kehidupan keluarga serta aspek sosial mereka.

Menurutnya, aspek persekolahan dan pendidikan juga terkesan dan pandemik yang berlarutan ini telah memberi kesan yang tidak sihat kepada perkembangan psikologi dan sosial kanak-kanak.

Beliau berkata, walaupun gejala jangkitan Covid-19 dialam kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes-kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU).

“Antara gejala yang sering dialami oleh kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 adalah batuk dan selesema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam yang berterusan, dan muntah atau cirit birit.

“Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran, dan juga sawan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) merupakan salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan Covid-19 di mana terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru, dan otak.

Sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19.

Sehingga kini, tujuh kes atau empat peratus kematian kanak-kanak disebabkan MIS-C susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid atau sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan.

Kenyataan penuh di ruang Rencana.

BERITA BERKAIT
POPULAR