503 hari yang penuh bererti, kata Zulkifli Mohamad al-Bakri

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri memohon maaf kepada rakyat Malaysia jika ada kekurangan beliau dalam menjadi menteri sepanjang 17 bulan 6 hari.

Beliau yang menjadi ulama pertama dari kalangan Mufti Negeri diangkat sebagai Senator dan Menteri pada 9 Mac 2020 turut merakam terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan yang telah diberikan.

“Alhamdulillah, 503 hari yang penuh bererti. Amanah yang saya terima dengan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Senator dan Menteri adalah tanggungjawab dan penghormatan yang dilaksanakan sedaya upaya saya.

“Menjunjung kasih atas kepercayaan Tuanku kepada patik pacal yang senantiasa mendoakan kebaikan buat Tuanku,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Zulkifli turut menyampaikan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi sepenuh keyakinan kepada beliau untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dan juga kepada menteri-menteri Kabinet lain sentiasa memberi sokongan.

“Terima kasih juga kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri yang memberikan kerjasama penuh bagi semua urusan hal ehwal Islam melibatkan Persekutuan – Negeri. Pastinya ia adalah untuk manfaat rakyat khususnya umat Islam,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sejak Mac 2020 hingga kini sebanyak RM591.9 juta telah diagihkan melalui inisiatif #Musaadah sejak bermulanya pandemik Covid-19 oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab beliau.

“Semua inisiatif kami sepanjang 2002-2021 akan saya bentangkan dalam minggu ini, insya-Allah. Rakyat perlu tahu ke mana setiap sen zakat, infaq, waqaf yang mereka salurkan melalui kami, katanya sambil berharap usaha itu diteruskan walaupun beliau sudah tiada dalam Kabinet.

Pada masa sama katanya, terjemahan Sahih al-Bukhari, Tafsir al-Qur’an al-Bayan dan Terjemahan al-Quran versi al-Bayan sebagai hadiah buat seluruh umat Islam di Malaysia sedang dalam percetakan.

“Insya-Allah, tiga kitab yang pasti menempa sejarah dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini sedang dalam urusan percetakan. Saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

POPULAR