50 korban banjir: Polis

Angka korban akibat bencana banjir di seluruh negara sejak 19 Disember lalu mencecah 50 mangsa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata dua lagi mangsa banjir itu dilaporkan masih belum dijumpai di Telemong dan Bentong, Pahang.

Menurutnya gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan sehingga kini.

Bercakap pada sidang media di Dungun hari ini beliau turut berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan semua agensi dalam berdepan gelombang kedua banjir.

“Setakat jam 6 pagi tadi saya dimaklumkan ada dua pondok polis yang terkesan dengan banjir iaitu di Pekan dan Jerantut, Pahang.

“Bagaimanapun, sehingga 12 tengah hari, air di kedua-dua pondok berkenaan sudah pun surut dan kini masih dalam proses pembersihan,” katanya, yang turut meninjau banjir di beberapa kawasan di Hulu Dungun.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan maklum balas diterima daripada semua Ketua Polis Negeri yang menunjukkan persediaan yang telah pun dibuat.

“Alhamdulillah, mudah-mudahan (dan) Insya-Allah, kita sama-sama berdoa apa yang dirancang akan berjalan mengikut perancangan dibuat,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas menjadi korban pertama banjir di Negeri Sembilan akibat serangan jantung ketika meredah air untuk ke kandang ternakannya di Felda Sungai Kelamah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Rosli Roslan, 66, dikatakan pergi ke kandang lembu dan kambing miliknya berhampiran rumah yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, isteri mangsa yang melihat kejadian itu sempat menarik tangan suaminya itu ke kawasan lebih selamat, tetapi tiba-tiba mangsa terkena serangan jantung.

BERITA BERKAIT
POPULAR