5 strategi hadapi cacar monyet: KJ

May 26, 2022 · Isu semasa

Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan lima pelan strategi bagi menghadapi risiko kemasukan wabak cacar monyet atau ‘monkeypox’ ke Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia merangkumi pengesanan awal kes, memperkukuh diagnostik, pengurusan kes, pengurusan kluster atau wabak dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti.

“Strategi menangani monkeypox di Malaysia objektif umumnya adalah untuk kita mencegah kemasukan dan penularan jangkitan monkeypox. Setakat ini kita masih belum ada kes monkeypox di Malaysia,” katanya pada sidang media khas secara maya dari Geneva, Switzerland hari ini.

Beliau berkata KKM turut mewujudkan ‘Health Alert monkeypox’ dalam aplikasi MySejahtera yang akan diaktifkan mulai esok dengan pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes monkeypox akan menerima Health Alert tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

“Ini adalah ciri baharu yang akan aktif esok. Mereka tidak akan terima HSO (arahan pengasingan di rumah) tetapi mereka akan terima pop up alert. Kenapa (tempoh) 21 hari, ini kerana tempoh inkubasi cacar monyet adalah sehingga 21 hari,” katanya.

Negara endemik yang melaporkan kes cacar monyet adalah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.

Sementara negara bukan endemik yang telah melaporkan cacar monyet adalah Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain itu, Khairy berkata KKM juga sedang merancang untuk membuat vaksinasi kepada kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan cacar monyet terhadap mana-mana individu.

Menurutnya buat masa ini terdapat dua makmal yang boleh menjalankan ujian cacar monyet iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di bawah KKM.

“Cadangan penambahan jumlah makmal, kita akan tambah empat lagi MKAK di Sarawak dan Hospital Langkawi bagi pengesanan virus monkeypox,” tambahnya.

Mengulas mengenai perkembangan Perhimpunan Kesihatan Dunia (WHA) kali ke-75 di Geneva, Khairy berkata Malaysia bersetuju untuk meningkatkan sumbangan kewangan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai tanda sokongan kepada pertubuhan itu yang melaksanakan peranan penting dalam memberi nasihat berhubung kesihatan awam dan kesihatan kecemasan.

“Ini adalah penting kerana kita mahu WHO menjadi sebuah pertubuhan yang dilengkapkan dengan baik untuk memenuhi tujuannya.

Sebelum kelulusan resolusi di WHA, jemaah menteri bersetuju lebih awal supaya memenuhi kriteria yang ditetapkan 20 peratus daripada bajet asas pada 2024 kepada 40 peratus pada 2029. Ini menunjukkan kita sebagai ahli yang bertanggungjawab, ahli yang boleh menerajui melalui teladan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut bersedia untuk terus menjadi tuan rumah kepada Pusat Servis Global WHO berpangkalan di Cyberjaya yang disifatkan sebagai sumbangan sukarela kepada pertubuhan itu. – Bernama

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023· Isu semasa
Isu caj QR, ini keadaannya apabila ada ‘menteri kewangan sambilan’: Khairy
October 4, 2023· Politik
Popular
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Hukuman berat untuk si pendera!
September 9, 2022
Ringgit jatuh semula hari ini
December 13, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok