5 kematian terendah sejak April 2021

Jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam turun ke paras terendah sejak April 2021.

Hanya lima kematian direkodkan semalam, dengan dua kes dilaporkan di hospital manakala tiga lagi melibatkan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum sempat dirawat di hospital atau dikategorikan sebagai kes brought in death (BID).

Angka terbaharu itu menjadikan keseluruhan kumulatif kes kematian sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 31,957 kes, termasuk 6,441 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan menerusi laman sesawang Covidnow, hari ini.

Lima negeri masing-masing mencatat satu kes kematian ialah Kelantan, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, dan Selangor.

Sehingga semalam, 10 negeri kekal merekodkan kumulatif kes kematian melebihi 1,000, dengan Selangor mencatat 10,056 kes; diikuti Johor (3,912); dan Sabah (2,829 kes).

Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 2,700 kes kematian; Kedah (2,186); Pulau Pinang (1,769); Sarawak (1,622); Perak (1,433); Negeri Sembilan (1,334); dan Kelantan (1,275 kes).

Sejak seminggu lalu sebanyak 28.9 peratus kematian akibat Covid-19 di seluruh negara melibatkan pesakit berusia 60 hingga 69 tahun; diikuti 22.9 peratus (80 tahun ke atas); 20.5 peratus (70-79 tahun); 13.3 peratus (50-59 tahun); 7.2 peratus (40-49 tahun); 4.8 peratus (18-29 tahun); dan 2.4 peratus (30-39 tahun).

KKM juga memaklumkan jumlah kes aktif di seluruh negara terus meningkat kepada 51,397 kes, dengan 43,938 pesakit menjalani kuarantin di rumah; PKRC (4,392); hospital (2,948); dan 119 dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 69 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 29 Januari 2022.

Sementara itu, lima kluster baharu yang dikesan semalam semuanya melibatkan kategori pendidikan, menjadikan jumlah yang dilaporkan sejak 1 Januari lalu meningkat kepada 162 kluster, membabitkan lebih 5,000 jangkitan.

Kluster pendidikan itu masing-masing direkodkan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

Berikut adalah pecahan kluster baharu pendidikan yang dikesan semalam, 29 Januari 2022:

Kedah – Kluster Dah Kayu Manis (Kubang Pasu) – 26 kes;

Perak – Kluster Titi Serong (Kerian) – 5 kes;

Negeri Sembilan – Kluster Jalan Sunggala (Port Dickson) – 34 kes;

Pahang – Kluster Bukit Piatu (Bentong) – 18 kes; dan

Selangor – Kluster Jalan Lengkuas (Petaling dan Klang) – 18 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR