495 penerbangan tertunda ketika Aidilfitri lalu, lapor MAVCOM

May 30, 2022 · Isu semasa

Lapan peratus atau 495 penerbangan tertunda melebihi sejam direkodkan sepanjang tempoh perjalanan sempena Hari Raya baru-baru ini, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM dalam penemuan awal siasatan yang dikeluarkan hari ini mengenai penundaan penerbangan oleh syarikat penerbangan ketika tempoh perjalanan Aidilfitri berkata, siasatan melibatkan analisis data gangguan jadual penerbangan yang dibuat berdasarkan data dikemukakan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

Menurutnya, berdasarkan penemuan awal MAVCOM, lebih 6,000 penerbangan domestik telah dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan sepanjang tempoh perjalanan Aidilfitri dari 29 April hingga 9 Mei, 2022 berbanding lebih 8,000 penerbangan domestik yang dikendalikan sepanjang tempoh perayaan itu pada Jun 2019, sebelum penularan Covid-19.

“Sepanjang tempoh perjalanan itu, AirAsia mengendalikan 2,954 penerbangan yang mana 13 peratus atau 368 penerbangan tertunda melebihi satu jam. Ini diikuti Malaysia Airlines yang mengendalikan 1,447 penerbangan dengan mencatatkan tiga peratus atau 44 penerbangan tertunda.

“Selain itu, MASwings mengendalikan 656 penerbangan dengan 10 peratus atau 64 penerbangan tertunda, manakala penerbangan Firefly turut tertunda sebanyak dua peratus atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan yang dikendalikan,” katanya menurut laporan Bernama.

Katanya Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air) yang mengendalikan 555 penerbangan mencatatkan satu peratus atau empat penerbangan yang tertunda.

Bagi penundaan penerbangan melebihi dua jam, analisis awal menunjukkan bahawa 71 peratus atau 119 penerbangan tertunda disebabkan beberapa faktor operasi, antaranya kekurangan pesawat, perhentian penerbangan malam yang tidak berjadual disebabkan had waktu pekerjaan sah anak kapal dan kelewatan ketibaan lanjutan dari penundaan, katanya.

Suruhanjaya berkata, ini diikuti oleh faktor-faktor teknikal seperti kerosakan pesawat, penyelenggaraan mendesak yang tidak dijadualkan, serta kekurangan alat ganti atau peralatan penyelenggaraan, yang secara kolektif menyumbang kepada 25 peratus atau 41 penerbangan yang ditunda melebihi dua jam.

“Kedua-dua faktor operasi dan teknikal menyumbang kepada 96 peratus atau 160 penerbangan daripada jumlah penerbangan yang ditunda melebihi dua jam dalam tempoh perjalanan tersebut. Faktor lain disumbangkan oleh keadaan cuaca buruk,” katanya.

Suruhanjaya tersebut sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penyediaan penjagaan bagi 160 penerbangan yang ditunda melebihi dua jam untuk memastikan sama ada penjagaan seperti yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) telah disediakan kepada pengguna.

Katanya pengguna yang terjejas akibat penundaaan penerbangan melebihi dua jam disebabkan faktor operasi dan teknikal hendaklah diberikan makanan, panggilan telefon dan akses Internet, selain penginapan dan pengangkutan bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, sekiranya penginapan diperlukan oleh pengguna.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata MACPC telah ditubuhkan untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan sentiasa dilindungi, dan syarikat penerbangan perlu mematuhi undang-undang sedia ada

“Pengguna harus ditawarkan penjagaan secara automatik seperti yang tertakluk di bawah MACPC dan tidak perlu meminta penjagaan daripada syarikat penerbangan.

“Suruhanjaya sedang dalam proses pengesahan justifikasi yang diberikan oleh syarikat penerbangan berkaitan penyediaan penjagaan semasa penundaan penerbangan dalam tempoh yang ditinjau,” katanya.

Menurut Saripuddin, MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan kuasanya sekiranya justifikasi yang diberikan tidak memenuhi keperluan di bawah MACPC.

Saripuddin berkata bergantung kepada jenis dan tahap ketidakpatuhan, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM200,000 untuk kesalahan pertama, dan dalam hal ketidakpatuhan kedua atau yang berikutnya, suatu amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang telah dikenakan sebelumnya bagi ketidakpatuhan terhadap MACPC.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan negara, adalah menjadi kewajipan kami untuk memastikan penyiasatan yang mendalam dan objektif dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil oleh suruhanjaya.

“Selaras dengan mandat kami, MAVCOM bermatlamat untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial dan berdaya tahan, sambil memperkasakan pengguna untuk melindungi hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan,” katanya.

Suruhanjaya turut menggesa semua syarikat penerbangan memainkan peranan dalam mendidik pengguna mengenai hak-hak penerbangan mereka seperti yang diperuntukkan dalam perenggan 19 MACPC.

Berita berkaitan
Kes jangkitan baharu Covid-19 naik lebih 2,000 selepas Aidilfitri
May 9, 2022· Isu semasa
Selangor catat kes kemalangan, kematian tertinggi sepanjang hari raya
May 7, 2022· Isu semasa
Polis tahan dua beradik samun wartawan semasa hari raya
May 7, 2022· Isu semasa
Lebuh raya sesak, PLUS jangka berterusan sehingga awal pagi
May 5, 2022· Isu semasa
Popular
Zahid dakwa tertekan, tak nafi guna dana YAB bayar kad kredit
June 30, 2022
Operasi cari 10 pemancing, 3 kru bot hilang diperluas: APMM
July 1, 2022
Mahkamah tangguh keputusan kes rasuah Azeez buat kali terakhir
July 1, 2022
Keputusan kes rasuah Rosmah diubah kepada 1 September
July 1, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Annuar perjelas punca harga barang naik
2 jam lalu · Isu semasa
Kekurangan doktor di HKL, HTA hanya sementara
2 jam lalu · Isu semasa
Permohonan Irwan, Arul Kanda batal saman 1MDB didengar 19 Okt
2 jam lalu · Isu semasa
Guan Eng menang kes saman terhadap dua akhbar bahasa Cina
2 jam lalu · Isu semasa
Tiada syarikat di Malaysia ada lesen import, jual air zam zam: KKM
2 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
4 jam lalu
[VIDEO] Marah disaman tiada lesen, langgar kereta JPJ sehingga terbalik
June 30, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok