49 kematian akibat Covid-19 semalam, kes aktif naik semula

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara sejak awal tahun lalu hingga semalam, meningkat kepada 29,535 kes susulan 49 lagi pesakit disahkan meninggal dunia semalam.

Jumlah itu termasuk 14 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID) menjadikan keseluruhannya 5,975 kes BID.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laporan harian Covid-19 memaklumkan Sabah merekodkan jumlah kematian tertinggi semalam, dengan 12 pesakit Covid-19 meninggal dunia.

Angka itu menjadikan keseluruhannya 2,582 kematian dilaporkan di negeri itu sejak awal tahun lalu hingga semalam.

Dalam tempoh sama, Sabah juga mencatat 8,075 kes aktif dengan 6,380 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; 978 ditempatkan di PKRC; 644 dimasukkan ke hospital; dan 73 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri lain yang mencatatkan kematian akibat Covid-19 semalam melibatkan sembilan kes di Perak; masing-masing tujuh kes di Sarawak dan Selangor; dan enam kes di Terengganu.

Kelantan merekodkan tiga kematian; diikuti dua di Johor, dan masing-masing satu di Kedah, Pahang, dan Kuala Lumpur. Tiada kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam sebanyak 63,827 jangkitan Covid-19 masih aktif, meningkat 937 kes berbanding 62,890 kes aktif yang direkodkan pada Rabu.

Daripada jumlah itu seramai 49,714 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; 7,945 ditempatkan di PKRC; 5,630 dimasukkan ke hospital; dan 538 pesakit dirawat di ICU dengan 274 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sepintas lalu laporan Covid-19 mengikut negeri sehingga 11 November 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR