4,885 kes baharu, kadar kemungkinan jangkitan di 12 negeri lepasi Rt 1.00

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat sedikit berbanding semalam, namun masih di bawah paras 5,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, 4,885 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 4,854 kes dalam tempoh sama semalam.

Angka itu katanya menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi sebanyak 2,591,486 kes, dengan 2,487,809 pesakit disahkan sembuh.

Sementara itu, semua 12 negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Sabah, Sarawak, Perlis dan Labuan, merekodkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi, semalam iaitu masing-masing melepasi Rt 1.00.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 21 November 2021 untuk seluruh negara adalah 1.00, turun berbanding 1.01 pada Sabtu.

Putrajaya mencatat kadar kebolehjangkitan yang tinggi iaitu 1.13 semalam, tetapi turun jika dibandingkan sebanyak 1.17 pada Sabtu.

Semalam Putrajaya merekodkan 31 jangkitan baharu menjadikan kumulatif positif sebanyak 7,973 kes dengan 7,220 pesakit telah sembuh, dan 21 kematian.

Wilayah Persekutuan itu juga melaporkan sebanyak 788 kes aktif, termasuk 753 pesakit dikuarantin di rumah; 27 dimasukkan ke hospital; dan lapan pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan empat dripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh sama, Selangor dan Kelantan masing-masing mencatat Rt 1.07; diikuti masing-masing 1.06 di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan; Pahang (1.05); Johor (1.04); masing-masing 1.02 di Pulau Pinang dan Kedah; masing-masing 1.01 di Perak serta Terengganu; dan Melaka (1.00).

Sabah mencatat Rt 0.99, dan Sarawak (0.84), manakala Labuan (14 kes), dan Perlis (12 kes).

BERITA BERKAIT
POPULAR