4,633 kes libatkan 107 kluster pendidikan dikesan sejak awal Januari

Kementerian Pendidikan (KKM) memaklumkan seramai 4,633 individu yang ada kaitan dengan pendidikan, terutama pelajar, telah dijangkiti Covid-19 sejak 1 Januari hingga semalam, 25 Januari 2022.

“Peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada tahun 2022 berbanding sesi persekolahan pada tahun 2021.

“Pada Minggu Epidemiologi (ME) 1 tahun 2022, hanya terdapat tiga kluster pendidikan direkodkan. Namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2 di mana 15 kluster telah direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ke-3.

“Pada ME ke-4, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan telah dilaporkan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster atau 52.3 peratus.

Ini diikuti kategori pendidikan lain sebanyak 24.3 peratus, kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar dengan KPM (2.8 peratus), katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes atau 88.3 peratus telah lengkap menerima vaksin dan 112 kes (2.4%) pula telah menerima dos penggalak.

“Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan iaitu kategori 1 dan 2 sebanyak 99.7 peratus atau 4,621 kes, manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) lagi terdiri daripada kategori 3 dan 4. Semua 12 kes tersebut berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan,” katanya.

Menurutnya hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan itu, jangkitan berpunca daripada beberapa sebab iaitu:

  • Ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama;
  • Individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas;
  • Murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin;
  • Ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan
  • Sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama.

KKM katanya, telah menyediakan beberapa garis panduan saringan Covid-19 bagi sektor pendidikan dalam Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata, bagi sekolah rendah dan prasekolah pelbagai agensi perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK-Ag ke atas 10 peratus daripada kohort murid yang hadir ke sekolah pada setiap minggu.

Ujian itu perlu dipantau oleh pihak sekolah dan PKD. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengesan awal kes Covid-19 dalam kalangan murid sekolah.

Dr Noor Hisham berkata, susulan peningkatan kes dan kluster berkaitan pendidikan, KKM telah berbincang dengan KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada 22 Januari lalu.

Antara cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan ialah:

  1. Pihak sekolah dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM;
  2. Melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti Covid-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat;
  3. Pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema;
  4. Pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes Covid-19 dan kontak rapat;
  5. Individu yang layak untuk menerima vaksin Covid-19 dan dos penggalak adalah digalakkan untuk berbuat demikian;
  6. Ibu bapa juga diingatkan untuk memainkan peranan dalam memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah;
  7. Memastikan semua warga pendidikan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM sepanjang masa;
  8. Pembersihan dan disinfeksi perlu kerap dilakukan terutama di permukaan yang kerap disentuh;
  9. Memastikan ventilasi di kelas, bilik asrama dan ruang-ruang tertutup dalam keadaan yang baik bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19; dan
  10. Keputusan ujian kendiri Covid-19 yang dilaksanakan oleh murid dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga di rumah perlu dilaporkan kepada pihak sekolah.

BERITA BERKAIT
POPULAR