460 kematian babit penerima vaksin tiada kaitan dengan dos diterima

Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK) mendapati 460 daripada 609 laporan kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19, tiada kaitan dengan vaksin yang diterima.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata 149 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai oleh JFK.

Pada masa sama katanya NPRA menerima 56 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak yang memerlukan siasatan dan penilaian.

“JFK telah menjalankan penilaian ke atas 25 laporan yang telah lengkap penyiasatan dan didapati kes-kes kematian tersebut tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.

“Terdapat 31 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dibentangkan untuk penilaian oleh JFK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 131 kes atau 8.6 peratus daripada 1,526 laporan AEFI bagi dos penggalak vaksin Covid-19 yang dilaporkan hingga 1 April diklasifikasikan sebagai serius.

Pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober tahun lepas dan setakat 1 April, sejumlah 15,813,417 daripada 68,924,040 dos vaksin Covid-19 yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), adalah dos penggalak.

Dr Roshayati berkata setakat 1 April lalu sejumlah 1,340,321 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Setakat ini sejumlah 264 laporan AEFI dterima melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, bersamaan kadar 197 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Kadar pelaporan AEFI bagi kanak-kanak ini adalah lebih rendah berbanding kadar keseluruhan pelaporan AEFI setakat ini atau 377 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Daripada jumlah itu, majoriti laporan AEFI bagi golongan kanak-kanak adalah kesan tidak serius. Kesan paling kerap dilaporkan ialah demam, kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala,” katanya.

Mengenai laporan AEFI secara keseluruhan, Dr Roshayati berkata sejumlah 26,005 laporan AEFI vaksin Covid-19 dinilai termasuk 1,526 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 264 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Menurutnya, 93 peratus atau 24,182 daripada AEFI yang dilaporkan adalah bagi kes yang tidak serius dan kesan advers yang paling kerap dilaporkan adalah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan yang biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan laporan AEFI yang diterima, terdapat 1,823 laporan yang dikategorikan sebagai AEFI serius berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia merujuk kepada kesan yang menyebabkan kemasukan ke dalam wad atau pemanjangan tempoh di wad, membahayakan nyawa, menyebabkan kehilangan upaya yang signifikan atau memerlukan intervensi untuk mencegah kerosakan kekal tubuh, menyebabkan kecacatan semasa lahir atau disyaki menyebabkan kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR