46 kematian, termasuk 17 BID

Empat puluh enam pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan kumulatif kematian di seluruh negara sejak awal 2020 lalu, meningkat kepada 32,534 kes.

Jumlah kematian semalam turut membabitkan 17 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau kes ’brought in death’ (BID), menjadikan keseluruhannya 6,646 kes BID.

Bagaimanapun, tiada perincian diberikan adakah 17 kes BID itu melibatkan kalangan 273,799 pesakit yang diarah menjalani kuarantin di rumah.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam di Melaka, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, menurut data diterbitkan dalam laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), CovidNOW, pagi ini.

Dalam tempoh 24 jam itu, Johor dan Kedah merekodkan lapan kes kematian, diikuti masing-masing tujuh kes di Pahang serta Sabah; Selangor (enam); masing-masing tiga kes di Perak serta Pulau Pinang; Terengganu (dua); dan masing-masing satu di Kelantan serta Negeri Sembilan.

Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac depan, kini merekodkan kumulatif kematian sebanyak 4,021 kes – kedua tertinggi selepas Selangor – manakala Kedah pula 2,241 kes.

Berdasarkan taburan kematian mengikut kumpulan umur di Johor dalam seminggu lalu, 33.3 peratus melibatkan pesakit berusia 70 hingga 79 tahun, diikuti 22.9 peratus (80 tahun ke atas); 18.8 peratus (60-69 tahun); 10.4 peratus (40-49 tahun); 8.3 peratus (50-59 tahun); dan masing-masing 2.1 peratus bagi kumpulan umur 30-39 tahun; 12-17 tahun; serta 0-4 tahun.

Sehingga semalam, Johor merekodkan kumulatif positif sebanyak 311,421 kes – ketiga tertinggi setelah Selangor dan Sabah – dengan 281,955 pesakit telah sembuh, dan 25,445 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif di Johor itu, seramai 24,069 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 174 ditempatkan di PKRC; 1,170 dimasukkan ke hospital; dan 32 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, seramai 3,057,446 atau 80.6 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,181,103 atau 83.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, dan 1,867,075 atau 68.3 peratus populasi dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, Kedah mencatat kumulatif positif sebanyak 222,270 kes, dengan 190,815 pesakit telah sembuh, dan 29,214 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif di Kedah, seramai 28,510 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 251 ditempatkan di PKRC; 420 dimasukkan ke hospital; dan 33 dirawat di ICU dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai 1,579,140 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, manakala 1,635,129 atau 74.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 659,531 atau 42.4 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 24 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR