Sebanyak 4,519 jangkitan baharu Covid-19, dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam, meningkat sedikit daripada hari sebelumnya.
Semalam negara mencatatkan sebanyak 4,498 kes jangkitan baharu iaitu tertinggi sejak Februari dengan Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur melaporkan kes harian tertinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif Covid-19 sebanyak 436,944 dengan jumlah keseluruhan kematian pula ialah sebanyak 1,657.
“Terdapat lima kes import yang melibatkan warganegara manakala sebanyak 4,514 kes tempatan dengan 3,964 daripadanya adalah warganegara dan 550 bukan warganegara,” katanya ketika sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 hari ini.
Katanya hari ini mencatatkan 25 kematian, sementara kes yang sembuh adalah sebanyak 2,716.
“Dalam pada itu, 363 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 210 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya lagi.