450 individu terkandas akibat tanah runtuh di Karak diselamatkan

Kira-kira 450 individu terdiri daripada pemandu dan penumpang kenderaan yang terkandas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak akibat tanah runtuh dan banjir sejak semalam, telah dibawa keluar secara berperingkat termasuk menggunakan bot Lebuhraya Pantai Timur, dalam operasi bermula awal pagi ini.

Jurucakap ANIH Berhad memaklumkan khidmat lori tunda akan digunakan esok bagi mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di lokasi berkenaan, menurut laporan Bernama.

Menurutnya operasi sepanjang hari bermula sekitar 7 pagi tadi itu, dilakukan sebaik lokasi berkenaan dapat diakses dan dilalui oleh petugas syarikat konsesi berkenaan.

Katanya kesemua mangsa telah ditempatkan di beberapa lokasi di lebuh raya berkenaan dengan diberikan bantuan sewajarnya seperti edaran makanan dan minuman.

Setakat 10 malam ini, laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup di kedua-dua hala.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata sebanyak 13 buah Loji Rawatan Air (LRA) melibatkan daerah Kuantan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Raub tidak dapat beroperasi kerana terkesan dengan kejadian banjir ketika ini.

Katanya berikutan henti tugas LRA itu, sebanyak 53,916 akaun pengguna mengalami masalah gangguan bekalan air.

“Penutupan telah bermula semalam membabitkan empat LRA, bagaimanapun telah meningkat kepada 13 LRA disebabkan peningkatan paras air sungai selain terputus bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Bantuan penghantaran bekalan air bersih dan tangki statik juga telah ditempatkan ke kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terjejas, namun masih terdapat banyak kawasan yang dinaiki air menyebabkan kesukaran penghantaran bekalan air terawat melalui lori tangki,” katanya dalam kenyataan malam ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR