45 kematian semalam, jumlah kes aktif Covid-19 terus meningkat

Jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (14 November 2021), turun kepada 45 kes berbanding 50 kes yang direkodkan pada Sabtu.

Kematian terbaharu itu turut membabitkan 12 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat diberi rawatan perubatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam sebanyak 29,676 kes, termasuk 6,006 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman sesawang COVIDNOW, hari ini.

Kedah merekodkan kes tertinggi apabila lapan pesakit meninggal dunia, menjadikan keseluruhannya 2,042 kematian, termasuk 311 kes BID.

Sehingga semalam, Negeri Jelapang Padi itu merekodkan 153,433 kes positif, dengan 148,608 pesakit disahkan sembuh.

Kedah juga sehingga kini merekodkan 2,837 kes aktif dengan 2,344 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 255 ditempatkan di PKRC; 211 dimasukkan ke hospital; dan 27 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 10 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM juga memaklumkan Pulau Pinang dan Selangor masing-masing mencatat tujuh kematian, semalam; diikuti masing-masing empat di Perak dan Sarawak.

Kelantan, Sabah dan Terengganu pula masing-masing merekodkan tiga kematian; diikuti Kuala Lumpur (dua kes); dan masing-masing satu kes di Johor, dan Negeri Sembilan.

Tiada kes kematian dicatat di Pahang Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Melaka yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri pada 20 November ini turut mencatat dua kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 916 kes. Negeri itu juga merekodkan 67,874 kes positif dengan 64,366 pesakit disahkan sembuh.

Sehingga semalam, Melaka merekodkan 2,742 kes aktif dengan 2,212 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 355 ditempatkan di PKRC; 157 dirawat di hospital; dan 18 dimasukkan ke ICU, termasuk enam yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, KKM memaklumkan sehingga semalam, jumlah kes aktif di seluruh negara meningkat sedikit berbanding semalam apabila bertambah 98 kes menjadikan keseluruhannya sebanyak 65,417 kes.

Daripada jumlah itu, 51,030 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; 8,067 ditempatkan di PKRC; 5,796 dimasukkan ke hospital; dan 524 pesakit dirawat di ICU dengan 265 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,540,724 kes positif dengan 2,451,216 pesakit disahkan sembuh.

Keseluruhannya, kes berkaitan Covid-19 di Selangor mencatat kenaikan ketara apabila sehingga semalam 15,808 kes aktif dilaporkan, berbanding 15,689 pada Sabtu.

Jumlah pesakit yang menjalani kuarantin di rumah turut meningkat kepada 13,108 kes berbanding 13,030 pada Sabtu; 1,475 ditempatkan di PKRC (1,465 pada Sabtu); 1,138 dimasukkan ke hospital (1,109 pada Sabtu); dan 87 dirawat di ICU (85 pada Sabtu).

Selangor juga mencatat kumulatif kes positif sebanyak 730,270 dengan 706,269 pesakit telah sembuh, dan 9,688 meninggal dunia.

BERITA BERKAIT
POPULAR