445 kes aktif Covid-19 di Langkawi

Jumlah jangkitan Covid-19 di pulau peranginan Langkawi dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat satu kes berbanding semalam menjadikan 50 jangkitan baharu direkodkan.

Angka terbaharu itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Langkawi sejak awal tahun lalu hingga hari ini meningkat kepada 5,496 kes, dengan 4,980 pesakit telah sembuh, manakala 445 kes masih aktif.

Dalam tempoh itu juga 71 kematian dilaporkan.

Mukim Padang Matsirat yang turut mempunyai Kluster Dah Teluk Nibung merekodkan 18 jangkitan baharu berbanding 8 yang dicatatkan semalam.

Jirannya pula Mukim Kedawang dan Mukim Bohor turut merekodkan peningkatan jangkitan dengan masing-masing mencatat tujuh dan enam kes.

Sektor pelancongan di Pulau Legenda Mahsuri dengan 99 gugusan pulau itu dibuka semula pada 16 September lalu menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik kini mencatat satu kes membabitkan pelancong yang disahkan positif di pulau itu.

Ia membabitkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang melancong bersama ibu bapanya. Bagaimanapun tidak pasti sama ada jangkitan itu berlaku di Langkawi atau di negeri lain kerana kanak-kanak itu tidak menjalani ujian saringan sebelum masuk ke pulau itu.

Bagaimanapun, cetusan Kluster Dah Teluk Nibung di Padang Matsirat menyebabkan sebuah hotel terkemuka terpaksa ditutup Jumaat lalu susulan 59 pekerjanya positif Covid-19.

Sehingga semalam, kluster berkenaan membabitkan pekerja tempatan dan juga kontak rapat terdiri daripada ahli keluarga. Tiada pelancong yang terlibat.

BERITA BERKAIT
POPULAR