
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Seramai 4,422 kanak-kanak kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 dengan 154 daripada mereka menjadi yatim piatu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Beliau berkata jumlah kanak-kanak berkenaan yang juga murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan direkodkan sejak pandemik Covid-19 menular awal tahun lalu hingga 13 September 2021.
Daripada jumlah itu, katanya, 154 kanak-kanak menjadi yatim piatu kerana kehilangan kedua-dua ibu dan bapa.
“Sehubungan itu, pihak kementerian mengambil inisiatif memberi bantuan dan sokongan bagi menampung keperluan hidup mereka.
“Bantuan disalurkan melalui tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak daripada RM150 hingga RM1,000 sekeluarga.
“Selain itu, kita juga memberikan perkhidmatan kaunseling membabitkan kaunseling individu, berkelompok dan terapi psikologi,” katanya.
Menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Rina berkata, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan tiada waris atau saudara mara juga boleh ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.