44 kematian semalam, Perak catat 14 kes

Perak menjadi penyumbang tertinggi 44 kes kematian di 11 negeri semalam apabila seramai 14 pesakit di negeri itu meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, berbanding lima kes yang dicatatkan pada Rabu.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian di negeri berkenaan meningkat kepada 1,362 kes, termasuk 176 yang meninggal dunia sebelum sempat diberikan rawatan di hospital atau kes ‘brought in death’ (BID).

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sehingga semalam Perak merekodkan 127,657 kumulatif positif, termasuk 161 kes import, dengan 124,547 pesakit telah sembuh, dan 1,748 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,328 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 86 ditempatkan di PKRC; 299 dimasukkan ke hospital; dan 35 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, seramai 1,851,078 atau 73.7 peratus keseluruhan populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, 74.9 peratus atau 1,880,477 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 304,414 individu menerima suntikan dos penggalak.

Pada masa sama, sebelas daripada 392 kluster yang dikesan masih aktif dengan empat daripadanya melibatkan kategori pendidikan; tempat kerja (tiga); dan masing-masing dua komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi negeri-negeri lain pula, Pulau Pinang merekodkan tujuh kematian; diikuti Selangor (enam); masing-masing empat di Terengganu serta Kuala Lumpur; Kelantan (tiga); Pahang (dua); dan masing-masing satu di Johor, Kedah, Negeri Sembilan serta Sabah.

Tiada kematian dilaporkan di Melaka, Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Mengikut laman sesawang KKM, Covidnow, sehingga semalam negara merekodkan 2,731,713 kumulatif positif, termasuk 6,626 kes import, dengan 2,652,585 pesakit telah sembuh, dan 47,863 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 39,940 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,846 ditempatkan di PKRC; 3,648 dimasukkan ke hospital; dan 329 pesakit dirawat di ICU dengan 179 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes-kes berkaitan Covid-19 mengikut negeri pada 23 Disember 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR