44 kematian dicatat, tertinggi sejak pandemik dengan 4,140 kes baharu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan 4,140 kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif keseluruhan kini 466,330.

Pada masa sama, negara turut turut merekodkan kes kematian tertinggi setakat ini, kali kedua dalam tempoh seminggu iaitu 44 kes membabitkan 43 rakyat tempatan dan seorang warga asing.

Kes kematian tertinggi sebelum ini dicatat pada 12 Mei apabila 39 kes direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh hari ini, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,507 kes diikuti Johor (433) dan Kuala Lumpur (398).

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan Covid-19 di negara ini ialah 1,866 kes atau 0.40 peratus.

Seramai 482 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 250 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kementerian Kesihatan merekodkan 3,432 kes pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 422,329 kes (90.6 peratus) manakala 42,135 kes masih aktif,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR