44 kematian baharu, 60,873 kes aktif

Seramai 44 pesakit di 13 negeri meninggal dunia semalam akibat komplikasi Covid-19, termasuk 10 yang belum sempat diberi rawatan perubatan dan dikategorikan sebagai kes ’brought in death’ (BID).

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal tahun lalu akibat jangkitan Covid-19 meningkat kepada 30,831 kes, termasuk 6,236 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Johor mencatat angka kematian tertinggi sebanyak lapan kes, menjadikan keseluruhannya 3,809 kes, termasuk 479 BID. Negeri itu juga mencatat 236,693 kumulatif positif, termasuk 554 kes import, dengan 226,664 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam Johor merekodkan 6,220 kes aktif, meningkat 140 kes, berbanding 6,080 kes semalam.

Daripada jumlah itu, 5,142 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 560 ditempatkan di PKRC; 497 dimasukkan ke hospital; dan 21 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan kesemuanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu juga mencatat 31 kluster aktif, dengan majoriti daripadanya membabitkan jangkitan di tempat kerja dan komuniti.

Bagi di negeri-negeri lain, Sabah mencatat enam kematian semalam; diikuti Terengganu (lima); dan masing-masing empat di Pahang, Pulau Pinang serta Selangor.

Tiga kes kematian dilaporkan di Sarawak; masing-masing dua di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan serta Perak; dan masing-masing satu di Melaka serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam, 10 negeri kekal merekodkan kes kematian melebihi 1,000 yang membabitkan Selangor seramai 9,849 kes; Johor (3,809); Sabah (2,733); Kuala Lumpur (2,631); Kedah (2,116); Pulau Pinang (1,682); Sarawak (1,605); Perak (1,302); Negeri Sembilan (1,291); dan Kelantan (1,197).

Sementara itu, jumlah kes aktif di seluruh negara meningkat sedikit berbanding semalam apabila mencatat 60,873 kes.

Daripada jumlah itu, seramai 49,753 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 6,107 ditempatkan di PKRC; 4,620 dimasukkan ke hospital; dan 393 pesakit dirawat di ICU, dengan 212 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 2,683,523 kes positif dikesan dengan 2,591,819 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR