434 kes aktif di Langkawi, sebuah hotel ditutup

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh Langkawi meningkat semula hari ini apabila merekodkan 49 kes baharu berbanding 40 kes semalam.

Tiga mukim yang menjadi tumpuan utama pelancong ke pulau peranginan itu merekodkan peningkatan kes dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut data dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi (PKDLangkawi).

Kuah merekodkan jumlah peningkatan tertinggi sebanyak 17 kes berbanding empat kes semalam, diikuti Ayer Hangat (lapan kes baharu, tujuh semalam); dan Padang Matsirat (lapan kes baharu, dua semalam).

Sehingga kini, Langkawi merekodkan 434 kes aktif, dengan jumlah keseluruhannya 5,446 kes positif, tetapi 4,941 pesakit telah sembuh sepenuhnya.

Pulau peranginan yang dibuka kepada pelancong mulai 16 September lalu, setakat ini turut mencatatkan 71 kes kematian.

Sementara itu, sebuah hotel terkemuka di Langkawi di Padang Matsirat terpaksa ditutup selepas 59 kakitangannya dan ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo, berkata sehingga kini seramai 249 individu sudah disaring dengan 59 didapati positif manakala 192 individu lagi negatif dan tiga orang lagi masih menunggu keputusan.

“Pada Jumaat lalu, jabatan itu melaporkan wujud Kluster Dah Teluk Nibung di Langkawi dan penularan kes itu dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.

“Sehingga hari ini, kluster berkenaan membabitkan pekerja tempatan dan juga kontak rapat ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR