
Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Langkawi banjir, selain tanah runtuh dan pokok juga tumbang sehingga menghalang lalu lintas. - Gambar FB
Sekurang-kurangnya 43 mangsa banjir daripada 11 keluarga di Langkawi, dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Syifa di Padang Matsirat, sejak malam tadi.
Ia susulan kediaman mereka dilanda banjir selepas hujan lebat seharian semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata antara kawasan yang terbabit banjir adalah Kampung Limbung Putra, Kampung Buluh Penyumpit dan Kampung Atas.
“Bagaimanapun beberapa kawasan lain di daerah ini yang turut dinaiki air akibat hujan lebat berterusan telah reda menjelang lewat petang semalam.
“Terdapat sebuah rumah di Kampung Buluh Penyumpit, Kuah terjejas akibat tanah runtuh,” katanya dalam kenyataan di sini, awal pagi tadi.
Shariman berkata, pada masa sama pihak berkuasa telah mengeluarkan notis penutupan laluan ke Gunung Raya selepas berlaku empat runtuhan tanah dan menghalang lalu lintas.
“Sehingga jam 12 tengah malam tadi, seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga membabitkan tiga kampung dipindahkan ke PPS di Dewan Shifa Padang Matsirat.
“Kita akan terus memantau dari semasa ke semasa paras air sungai serta kawasan berpotensi untuk banjir,” katanya.