43 kematian termasuk 20 kes BID

Angka kematian akibat komplikasi Covid-19 seluruh negara sejak awal 2020 hingga semalam meningkat kepada 32,433, termasuk 6,606 pesakit meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital atau kes BID.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh 24 jam semalam seramai 23 pesakit Covid-19 meninggal dunia di hospital, manakala 20 lagi adalah kes BID.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada 20 kes BID itu terdiri dalam kalangan 254,520 individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah, kerana tiada maklumat yang diberikan.

Semua negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat kes kematian, kecuali Pahang, Perlis, Sarawak, Terengganu, Labuan dan Putrajaya, sementara jumlah kematian di Johor kini mencecah 4,005 kes.

Berdasarkan data laman sesawang Covidnow KKM yang dikemas kini tengah malam tadi, Sabah merekodkan 12 kematian tertinggi berbanding negeri-negeri lain, menjadikan kumulatif sebanyak 2,921 kes.

Sejak awal 2020 hingga semalam, Sabah merekodkan 317,652 kumulatif positif, dengan 265,228 pesakit telah sembuh, dan 49,503 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 47,064 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,137 ditempatkan di PKRC; 1,250 dimasukkan ke hospital; dan 52 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 29 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Johor mencatat sembilan kes kematian, diikuti masing-masing empat di Negeri Sembilan serta Selangor; dan masing-masing tiga kematian di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Melaka, dan Perak pula masing-masing merekodkan dua kematian, dan satu kes di Kuala Lumpur.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 22 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR