43 kematian, termasuk 13 kes BID

Jumlah kematian terkumpul akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara sejak awal 2020, meningkat kepada 32,634 kes setelah 43 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 6,673 pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Semalam sebanyak 13 lagi kes BID dilaporkan tetapi tidak dijelaskan sama ada ia adalah dalam kalangan 286,959 pesakit yang diarah menjalani kuarantin di rumah.

Bagi kes kematian semalam, Sabah mencatat jumlah tertinggi sebanyak sembilan kes, diikuti Selangor (lapan); Johor (tujuh); Perak (enam); Kedah (lima); masing-masing dua di Pahang serta Kelantan; dan masing-masing satu di Melaka, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Sabah kini merekodkan 2,954 kumulatif kematian – ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Johor.

Sehingga semalam, Sabah mencatat 334,506 kumulatif positif dengan 279,610 pesakit telah sembuh, dan 51,942 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 49,976 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 784 ditempatkan di PKRC; 1,126 dimasukkan ke hospital; dan 56 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 29 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini, lima negeri merekodkan jumlah kumulatif kematian melebihi 2,000 kes, membabitkan Selangor sebanyak 10,161 kes, diikuti Johor (4,042); Sabah (2,954); Kuala Lumpur (2,714); dan Kedah (2,251 kes).

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 26 Februari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR