429 pesakit kategori 3, 4 dan 5 dimasukkan ke hospital semalam

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam (1 April 2022) untuk seluruh negara kekal pada nilai 0.87.

Nilai Rt tertinggi dicatat Selangor iaitu Rt 1.07, meningkat sedikit berbanding 1.106 sehari sebelumnya, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Mengikut statistik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sabah dan Kelantan mencatat nilai Rt terendah iaitu masing-masing 0.65 dan 0.67.

Sementara itu, beliau berkata daripada 17,476 jangkitan baharu Covid-19 semalam, sebanyak 897 kes dimasukkan ke hospital dengan 429 kes atau 47.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 468 kes (52.2 peratus) kategori 1 dan 2.

Beliau turut berkongsi pecahan kes seperti berikut:

Daripada 17,476 kes harian yang dilaporkan pada 1 April 2022:

  • Kategori 1: 9,813 kes (56.15%);
  • Kategori 2: 7,552 kes (43.22%);
  • Kategori 3: 37 kes (0.21%);
  • Kategori 4: 37 kes (0.21%); dan
  • Kategori 5: 37 kes (0.21%).

Daripada 111 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam:

  • 22 kes (19.82%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
  • 45 kes (40.54%) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak;
  • 44 kes (39.64%) telah menerima dos penggalak;
  • 62 kes (55.86%) berumur 60 tahun dan ke atas;
  • 59 kes (53.15%) mempunyai komorbid; dan
  • Satu kes (0.90%) kes adalah kes ibu mengandung.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 164 kes import yang melibatkan 150 warganegara dan lima bukan warganegara turut dikesan semalam, manakala 17,312 lagi adalah kes tempatan yang turut membabitkan 911 bukan warganegara.

BERITA BERKAIT
POPULAR