42 warganegara asing antara 364 kes import Covid-19 hari ini

Sebanyak 364 kes import yang turut membabitkan 42 rakyat asing, dikesan positif Covid-19 ketika memasuki negara ini dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Angka itu menjadikan keseluruhan kes import Covid-19 sejak wabak yang boleh menyebabkan kematian itu merebak di negara ini awal 2020 lalu, meningkat kepada 10,228 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3,179 kes daripada 3,543 jangkitan baharu Covid-19 hari ini pula melibatkan penularan tempatan yang turut membabitkan 132 rakyat asing.

Katanya dalam tempoh sama seramai 3,484 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,705,292 atau 97.4 peratus daripada 2,776,699 kumulatif kes positif.

“Seramai 253 pesakit kini masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 130 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak tujuh kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 6,150 kluster dengan 5,960 telah ditamatkan dan 190 lagi masih aktif.

“Daripada 3,543 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 53 kes atau 1.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,490 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Sehingga kini 39,739 kes masih aktif di seluruh negara dengan 32,509 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,574 ditempatkan di PKRC; 3,399 dimasukkan ke hospital; dan 253 rirawat di ICU, dengan 130 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan tiada pertambahan jangkitan baharu melibatkan mangsa banjir, termasuk mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sehingga jam 3 petang tadi, 465 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir termasuk 15 kes di PPS, serta satu kluster.

Terdahulu beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.97.

Bagaimanapun, dua negeri – Sabah dan Perlis – merekodkan nilai Rt melebihi 1.00

Sabah mencatat nilai Rt 1.03, manakala Perlis 1.01. Nilai Rt di negeri lain adalah antara 0.86 dan 0.99.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

BERITA BERKAIT
POPULAR