4,186 jawatan tetap diwujudkan di Kementerian Kesihatan tahun ini

Kabinet bersetuju sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun ini melibatkan pelantikan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Perjawatan itu melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi yang mana lantikannya akan dibuat bermula Jun depan, katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi dialog awam bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Putrajaya, hari ini.

Memetik Bernama, Khairy berkata Jemaah Menteri juga bersetuju agar sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025.

Jemaah Menteri juga bersetuju supaya sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM setiap tahun mulai tahun 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM, katanya.

“Melalui keputusan terbaharu ini, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025,” katanya.

Sebagai tambahan, katanya 800 lagi lantikan tetap untuk pegawai perubatan dan 70 pegawai pergigian boleh dibuat pada setiap tahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pegawai perubatan yang akan dilantik menjadi pakar perubatan.

“Ini merupakan satu new deal atau tawaran baharu yang kita tawarkan kepada doktor junior supaya mereka boleh bersaing untuk mendapat peluang yang saksama bagi pelantikan ke jawatan tetap,” katanya.

Dalam tempoh 2016 sehingga akhir tahun 2021, sejumlah 1,118 orang pegawai perubatan, 1,019 pegawai pergigian dan 1,288 pegawai farmasi telah dilantik secara tetap.

Khairy berkata iklan bagi kesemua jawatan berkenaan akan dibuat pada bulan ini, dan ia terbuka kepada mereka yang telah tamat latihan siswazah, berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia, tiada kes tatatertib dan disahkan sihat untuk dilantik.

Mereka juga akan melalui tapisan awal dan pengambilan akan dibuat secara telus, adil tanpa pilih kasih dan prosesnya akan diteliti sebelum diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Selepas itu mereka akan melalui proses temu duga yang kita mohon akan (untuk) dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Kita masih menunggu jawapan SPA supaya ia boleh dibuat oleh badan bebas. Sekiranya mereka berjaya, SPA akan mengeluarkan surat tawaran lantikan pada bulan Jun,” katanya.

Khairy berkata Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa soal perjawatan tetap merupakan soal keperluan KKM dan bukan soal doktor kontrak semata-mata.

“Kita perlukan lebih ramai pakar, doktor dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyokong saranan KKM dan telah meluluskan permohonan ini, termasuk peruntukan tambahan yang diberi Kementerian Kewangan,” katanya.

Khairy berkata satu pelan hala tuju sedang dibangunkan oleh KKM bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak itu.

Antara kandungan pelan hala tuju itu termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan (SMP) dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan mengawal kualiti siswazah.

Ia juga untuk menilai dan mengemas kini senarai Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, melaksanakan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi menangani isu kualiti dan kompetensi siswazah dan memperkukuhkan Program Pengajian Kepakaran Kebangsaan, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR