
Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengenal pasti 432 titik panas banjir di negeri itu dan memantau keadaan di kawasan itu secara berterusan. - Gambar JBPM Johor
Seramai 413 penduduk Kampung Tenang di Labis, Johor dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kampung mereka ditenggelami air.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Mohd Rizal Buang berkata, mangsa banjir telah dipindahkan ke SK Kampung Tenang pada jam 8 pagi tadi (24 Januari 2023).
“Terdapat 119 keluarga di kampung itu, terdiri daripada 413 orang, termasuk 16 orang kurang upaya, 39 warga emas dan lapan bayi,” katanya.
Hujan berterusan sejak awal pagi turut menjejaskan kawasan di Kampung Paya Merah Lama, di mana empat mangsa telah dipindahkan dari rumah mereka.
“Terdapat juga mangsa berusia 70 tahun di Kampung Pekan Air Panas diselamatkan dan dipindahkan ke PPS Dewan Pekan Air Panas,” katanya.
Mohd Rizal menambah, pihaknya telah mengenal pasti 432 titik panas banjir di Johor dan memantau keadaan di kawasan itu secara berterusan.
“Beberapa kawasan yang kita pantau hari ini adalah di Kluang iaitu Sungai Mengkibol, Sungai Sembrong, Sungai Melantai dan Kampung Baru Jalan Paloh.
“Kami juga memantau beberapa titik panas di Sungai Balang Besar, Pantai Parit Penyengat, Pantai Leka, Parit Zin Bakri dan Parit Haji Nor Bakri di Muar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pertahanan Awam Johor Asisten Komisioner (B) Kamal Mokhtar berkata pihaknya kini sedang memantau titik panas di kawasan yang mempunyai sejarah dinaiki air.
“Kami telah menempatkan kakitangan kami di beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai di Johor.
“Hujan bukan sahaja menjejaskan beberapa kawasan malah seluruh negeri Johor, dan kami ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan perkembangan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi juga harus keluar awal dan tidak menunggu agensi penguatkuasaan memindahkan mereka,” katanya.
Terdahulu, Agenda Daily melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan bacaan air di tiga sungai di dua daerah di Johor sehingga jam 6.45 pagi ini (24 Januari, 2023), melepasi paras bahaya, dua tahap amaran dan tiga lagi waspada.
Data publicinfobanjir menunjukkan bacaan paras air di stesen Sungai Muar di Muara Sungai Gemas adalah 18.97 meter (m), manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, kedua-duanya di Segamat, adalah 6.04m, berbanding 4.10, paras normal.
Satu lagi ialah Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang yang mencatat bacaan 14.01m berbanding 10.00m paras normal.
Sementara itu, Sungai Muar di Kampug Awat mencatat bacaan melebihi paras amaran apabila merekodkan 19.68m berbanding 18.00m; manakala Sungai Sehamat di Segamat Kecil pula 37.30m (34.00m paras normal).
Tiga sungai mencatat paras waspada ialah Sungai Sarang Buaya di Kampung Parit Tengah, Muar (2.94m/0.50m), diikuti Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (3.05m/2.00m); dan Sungai Batu Pahat di Empangan Sembrong, Batu Pahat (10.13m/8.50m).