41 kematian semalam, 13 kluster tempat kerja dikesan, lapor KKM

Empat puluh satu pesakit Covid-19 di 13 negeri meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, meningkat hampir sekali ganda berbanding 28 kes pada Rabu, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 30,787 kes.

Jumlah itu termasuk enam kes pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau ’brought in death’ (BID), menjadikan keseluruhannya 6,226 kes BID.

Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak enam kes, menjadikan keseluruhannya sehingga semalam seramai 9,845 pesakit Covid-19 di negeri itu meninggal dunia, termasuk 2,091 kes BID.

Sehingga semalam, negeri itu mencatat 766,003 kumulatif kes positif termasuk 1,585 kes import, dengan 738,729 pesakit telah sembuh, selain mencatat 17,429 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu sebanyak 15,310 pesakit kini sedang menjalani kuarantin di rumah; 1,085 ditempatkan di PKRC; 957 dimasukkan ke hospital; dan 77 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 49 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu turut mencatat 74 kluster yang masih aktif, termasuk enam kluster yang dikesan semalam membabitkan lima penularan di tempat kerja dan satu kluster pendidikan melibatkan Putrajaya, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dengan 10 kes positif Covid-19.

Lima lagi kluster yang dikesan semalam membabitkan dua di daerah Sabak Bernam, dan masing-masing satu di daerah Klang, Kuala Langat dan Klang/Gombak, yang keseluruhannya melibatkan 107 jangkitan positif.

Bagi kes kematian di negeri-negeri lain semalam, Perak dan Sarawak masing-masing mencatat lima kes; diikuti masing-masing empat kes di Johor, Kelantan dan Pulau Pinang, manakala Kedah, Sabah dan Terengganu pula masing-masing merekodkan tiga kematian.

Melaka, Pahang, Perlis dan Kuala Lumpur pula masing-masing mencatat satu kes, sementara tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam seramai 2,678,465 telah dijangkiti Covid-19, dengan 2,586,822 daripadanya telah sembuh, dan 60,856 kes lagi masih aktif. Jumlah kes positif itu turut melibatkan 6,080 kes import.

Daripada jumlah kes aktif itu, 49,791 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah; 5,901 ditempatkan di PKRC; 4,745 dimasukkan ke hospital; dan 419 pesakit dirawat di ICU, dengan 232 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, 17 daripada 254 kluster yang masih aktif dan dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, melibatkan 13 kluster tempat kerja; dan empat kluster pendidikan yang keseluruhannya membabitkan 435 jangkitan positif.

Kluster baharu itu melibatkan enam di Selangor; masing-masing dua di Negeri Sembilan, Johor dan Putrajaya; dan masing-masing satu di Labuan, Sabah, Kedah, Perak dan Melaka.

BERITA BERKAIT
POPULAR