41 kematian akibat Covid-19 semalam, kes aktif terus naik

Seramai 41 pesakit Covid-19 di 10 negeri dan Wilayah Persekutuan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam (12 November 2021), menjadikan keseluruhannya 29,576 kematian dilaporkan sejak awal tahun lalu.

Jumlah itu termasuk lapan pesakit yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID), menjadikan keseluruhannya 5,983 kes BID.

Dalam kemas kini laman sesawang kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), COVIDNOW hari ini, Sabah merekodkan angka kematian tertinggi iaitu sebanyak 10 kes, berbanding 12 kes pada Khamis.

Angka terbaharu itu menjadikan keseluruhannya 2,592 kematian direkodkan di negeri itu, termasuk 1,004 kes BID.

Sehingga semalam, Sabah merekodkan 8,212 kes aktif, meningkat berbanding Khamis sebanyak 8,075, dengan 6,626 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Seramai 899 pesakit lagi ditempatkan di PKRC; 622 dirawat di hospital; dan 65 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya Sabah mencatat 224,304 kes positif, dengan 213,617 daripada pesakit telah sembuh sepenuhnya.

KKM juga memaklumkan Selangor merekodkan sembilan kematian semalam; diikuti Sarawak (enam); Pulau Pinang (lima); dan masing-masing tiga kematian di Kelantan dan Perak.

Negeri Sembilan mencatat dua kematian, diikuti masing-masing satu di Johor, Perlis serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian direkodkan di Kedah, Melaka, Pahang, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM memaklumkan sehingga semalam jumlah kes aktif meningkat 450 kepada 64,277 kes, berbanding 63,827 pada Khamis, seiring dengan peningkatan jangkitan baharu sebanyak 6,517 kes dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam.

Jumlah pesakit yang menjalani kuarantin di rumah juga meningkat kepada 50,063 berbanding 49,714 pada Khamis, manakala pesakit yang ditempatkan di PKRC sebanyak 7,966 (7,945 pada Khamis).

Jumlah pesakit yang dirawat di hospital juga meningkat kepada 5,705 kes semalam berbanding 5,630 pada Khamis, sementara 543 pesakit dimasukkan ke ICU (538 pada Khamis), dengan 268 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor yang sebelum ini menjadi ‘hotspots’ Covid-19 di negara ini, turut mencatat peningkatan kes aktif apabila sehingga semalam mencatat 15,443 kes, berbanding 14,945 pada Khamis.

Seramai 12,783 pesakit Covid-19 di Selangor kini menjalani kuarantin kendiri di rumah; 1,486 ditempatkan di PKRC; 1,089 dimasukkan ke hospital; dan 85 dirawat di ICU.

BERITA BERKAIT
POPULAR