
Pecahan kes kematian mengikut negeri pada 28 September 2021. - Sumber KKM
Kematian
Hanya tiga negeri mencatatkan peningkatan kes kematian membabitkan pesakit Covid-19 semalam, berbanding jumlah yang dilaporkan pada Isnin, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Statistik dikongsi dalam laman sesawang COVIDNOW hari ini menunjukkan seramai 240 lagi pesakit meninggal dunia semalam, turun berbanding 258 kematian yang dilaporkan pada Isnin.
Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak Covid-19 menular pada Mac tahun lalu hingga semalam meningkat kepada 25,935 kes.
Jumlah itu termasuk 5,168 kes kematian berkaitan Covid-19 yang berlaku di luar hospital dan dikategorikan sebagai brought in death (BID). Semalam sahaja 71 kes BID dilaporkan di seluruh negara.
Sementara itu, tiga negeri yang mencatat kenaikan kes kematian ialah Sabah daripada 12 kes pada Isnin kepada 28 kes semalam; Kelantan (14 kes semalam, 5 Isnin); dan Perak (10 kes semalam, 5 kes pada Isnin).
Selangor kekal merekodkan kematian tertinggi semalam sebanyak 41 kes berbanding 56 kes yang dicatatkan pada Isnin.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)
Lebih 41.8 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada individu dewasa di negara ini bermula 24 Februari hingga semalam, membabitkan 85.1 peratus atau 19,912,566 penerima yang melengkapkan vaksinasi masing-masing sama ada vaksin dua dos atau dos tunggal.
Statistik KKM hari ini juga menunjukkan sehingga semalam 94.0 peratus atau 21,993,709 lagi individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Bagi program vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sehingga semalam 1.1 peratus atau 33,050 remaja sudah lengkap divaksinasi, manakala 37.7 peratus atau 1,184,336 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Semalam sahaja sebanyak 147,906 dos vaksin diberikan kepada 145,742 remaja untuk dos pertama dan 2,164 lagi melengkapkan dos masing-masing. Ini menjadikan keseluruhan dos vaksinasi remaja kini berjumlah 1,217,386 dos.
Secara keseluruhan, KKM memaklumkan lebih 43.0 juta dos vaksin telah diberikan sehingga semalam, membabitkan 23,178,045 penerima dos pertama atau 71.0 peratus, dan 19,945,616 atau 61.1 peratus individu melengkapkan vaksinasi mereka.
Semalam sahaja sebanyak 329,722 dos vaksin diberikan dengan 168,734 adalah penerima dos pertama dan 160,988 penerima lengkap divaksinasi.
Kes aktif
Kes aktif Covid-19 di seluruh negara berkurangan lagi kepada 174,492 pesakit direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam, berbanding 177,560 pada Isnin.
KKM memaklumkan pada Isnin terdapat 147,848 pesakit yang diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah, tetapi semalam angka itu berkurangan kepada 144,631 pesakit.
Bagaimanapun jumlah pesakit yang menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di seluruh negara semalam meningkat kepada 19,598 individu, berbanding 19,180 yang direkodkan pada Isnin.
Statistik KKM juga menunjukkan jumlah pesakit yang dirawat di hospital seluruh negara menunjukkan trend menurun apabila sehingga semalam terdapat 9,278 pesakit, berbanding 9,554 pada Isnin.
Bagaimanapun, jumlah yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sehingga semalam meningkat sedikit kepada 985 pesakit, berbanding 978 pada Isnin. Daripada jumlah itu, 563 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bagi kes yang dirawat di hospital, KKM memaklumkan Johor kekal tertinggi dengan merekodkan 1,530 pesakit, termasuk 80 dirawat di ICU, diikuti Selangor sebanyak 1,274 pesakit (161 di ICU); Sabah (1,103 pesakit, 121 di ICU); dan Sarawak (1,026 pesakit, 114 di ICU).
Seramai 798 pesakit juga dirawat di hospital seluruh Kelantan, termasuk 75 pesakit di ICU; Perak (767 pesakit, 85 di ICU); Pulau Pinang (578 pesakit, 82 di ICU); Pahang (424 pesakit, 31 di ICU); Kedah (422 pesakit, 81 di ICU); dan Kuala Lumpur (349 pesakit, 54 di ICU).
Di Terengganu, seramai 329 pesakit dirawat di hospital seluruh negeri itu dengan 34 daripadanya dimasukkan ke ICU; Negeri Sembilan (238 pesakit, 15 di ICU); Melaka (214 pesakit, 40 di ICU); Perlis (162 pesakit, 9 di ICU); Putrajaya (61 pesakit, 1 di ICU); dan Labuan (3 pesakit, 2 di ICU).
Kes baharu
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara meningkat sedikit dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam dengan sembilan negeri turut mencatat kenaikan kes.
Dalam tempoh itu 11,332 kes baharu direkodkan berbanding 10,059 kes pada Isnin. Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif sejak awal tahun lalu hingga semalam meningkat kepada 2,220,526 kes.
Pada masa sama, seramai 14,160 pesakit Covid-19 disahkan sembuh semalam menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu berjumlah lebih 2.02 juta pesakit telah pulih.
Kadar kebolehjangkitan
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 28 September 2021 untuk seluruh negara adalah 0.88.
Rt tertinggi direkodkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 1.01 dan Terengganu (Rt 1.00). Negeri-negeri lain merekodkan Rt antara 0.84 dan 0.99.
Kluster Covid-19
Sebanyak 15 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam dengan sembilan daripadanya melibatkan jangkitan dalam komuniti, manakala enam lagi adalah kluster tempat kerja.
Ini menjadikan keseluruhannya 5,447 kluster dikesan sejak awal tahun lalu, dengan 4,296 kluster telah ditamatkan, manakala 1,151 lagi masih aktif.