4,087 jangkitan baharu, 413 kes di Johor naik dua hari berturut-turut

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lagi kepada 4,087 kes, berbanding 4,239 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,627,903 kes.

Mengikut laporan Johor mencatatkan peningkatan daripada 404 kes semalam kepada 413 kes hari ini, naik dua hari berturut-turut setelah merekodkan 337 kes pada Sabtu.

Kes baharu di negeri lain akan dikemas kini dalam waktu terdekat.

Sehingga semalam, seramai 2,527,052 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh.

Semalam, jumlah jangkitan baharu di empat negeri meningkat dengan Johor mencatat 404 kes baharu berbanding 337 pada Sabtu.

Tiga negeri lain membabitkan di Pulau Pinang sebanyak 262 kes semalam berbanding 227 Sabtu; Terengganu (172 kes semalam, 171 Sabtu); dan Sarawak (158 kes semalam, 137 Sabtu).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 28 November 2021 untuk seluruh negara adalah 0.96.

Wilayah Persekutuan Labuan kekal mencatat Rt tertinggi iaitu 1.12, namun kadar kebolehjangkitannya turun berbanding 1.19 pada Ahad.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Lima lagi negeri turut merekodkan Rt melebihi 1.00 iaitu Kedah sebanyak Rt 1.02; Pahang (1.01); dan masing-masing 1.00 bagi Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.

Sementara itu, 10 negeri mencatat Rt di bawah 1.00 iaitu Perak sebanyak 0.99; masing-masing 0.98 di Sabah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Melaka (0.98); Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing Rt 0.96; Sarawak (0.78); dan Perlis 0.97).

Kes aktif di seluruh negara juga turun sebanyak 797 kes kepada 66,455 semalam berbanding 67,252 kes pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 54,695 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 6,550 ditempatkan di PKRC; 4,699 dimasukkan ke hospital; dan 511 dirawat di ICU, dengan 261 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR