4,083 jangkitan baharu, 11 lagi kes disah Omicron

Sebanyak 4,083 jangkitan baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi di seluruh negara, turun 280 kes berbanding 4,363 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga semalam sebanyak 2,715,847 kes.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan di dalam laman sesawang Covidnow, sehingga semalam 2,625,245 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala kematian sebanyak 31,044 kes.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau turut memaklumkan 11 lagi kes jangkitan Covid-19 telah disahkan varian Omicron, menjadikan kumulatif varian itu sebanyak 13 kes.

“Daripada 18 kes yang disyaki berkemungkinan varian Omicron seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 16 Disember 2021, 11 kes telah disahkan varian Omicron.

“Kesemua 11 kes varian Omicron yang dilaporkan ini adalah kes import iaitu masing-masing tiga kes dari United Kingdom, dan Amerika; masing-masing dua dari Nigeria dan Arab Saudi, serta satu kes dari Australia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sembilan kes adalah warganegara Malaysia manakala dua adalah warganegara Nigeria.

“Lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori 2, dan tiga lagi kes tidak bergejala. Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

“Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat,” katanya.

Menurutnya tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan.
“Ini disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima. Ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47.

“Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes. Dalam pada itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada 17 Disember 2021 dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR