4,006 kes baharu, lapan kematian

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Ahad, 24 April 2022), turun ke paras terendah sejak Januari lalu apabila mencatat 4,006 kes, termasuk tujuh kes import, berbanding 5,624 pada Sabtu.

Kali terakhir negara mencatat jangkitan harian terendah tahun ini ialah pada 24 Januari lalu apabila merekodkan 3,214 kes, menurut rekod laman sesawang Github Kementerian Kesihatan (KKM).

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 lalu mencecah 4,431,073 kes, dengan 4,320,822 pesakit telah pulih, dan 74,753 kes masih aktif.

Seramai 72,906 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 121 ditempatkan di PKRC; 1,627 dimasukkan ke hospital; dan 98 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 61 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 4,006 kes harian semalam, 2,464 jangkitan melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak; menerima dua dos (888 kes); tidak divaksinasi (461 kes); dan belum lengkap divaksinasi (193 kes).

Data Github menunjukkan empat negeri merekodkan peningkatan kes berbanding Sabtu, namun nisbahnya terlalu kecil.

Jangkitan di Pulau Pinang meningkat daripada 169 kes kepada 179 pada Sabtu, diikuti Kedah (105 kes, 94 Sabtu); Terengganu (35 kes, 21 Sabtu); dan Perlis (tujuh kes, tiga Sabtu).

Berikut adalah jumlah kes aktif bagi setiap negeri dan Wilayah Persekutuan sehingga Ahad, 24 April:

  • Selangor – 42,842;
  • Johor – 3,159;
  • Sabah – 7,253;
  • Kuala Lumpur – 6,234;
  • Sarawak – 1,204;
  • Kedah – 670;
  • Pulau Pinang – 1,137;
  • Kelantan – 345;
  • Negeri Sembilan – 3,413;
  • Perak – 2,987;
  • Pahang – 1,144;
  • Terengganu – 1,027;
  • Melaka – 2,539;
  • Labuan – 73;
  • Putrajaya – 620; dan
  • Perlis – 106.

Sementara itu, lapan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, menjadikan kumulatif meningkat kepada 35,499 kes

Selangor mencatat dua kes kematian diikuti masing-masing satu di Sarawak, Terengganu, Melaka, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur.

Daripada jumlah kematian itu, lima melibatkan individu yang telah menerima dua suntikan vaksin Covid-19; tidak divaksinasi (satu); dan penerima dos penggalak (satu).

Satu kluster pendidikan turut dikesan semalam iaitu Kluster Jalan Tun Abdul Razak Enam di Johor Bahru, melibatkan tujuh kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR