40 peratus sektor swasta akan bekerja dari rumah, kata Ismail Sabri

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang diperketat, lebih enam juta pekerja dalam sektor swasta perlu bekerja dari rumah bagi mengelak lebih banyak jangkitan di tempat kerja.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, langkah ini akan berkuatkuasa mulai 25 Mei ini dalam usaha untuk melandaikan lengkuk jangkitan kes Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.

“Sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir di satu-satu masa kepada 40 peratus.

Ini akan melibatkan 6.1 juta pekerja sektor ini,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Sementara itu berhubung sekatan perjalanan, katanya pihak berkuasa akan membuka lebih banyak sekatan jalan raya bersama dengan peningkatan pemantauan oleh semua agensi yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Ismail Sabri juga berkata kapasiti pengangkutan awam seperti bas, komuter dan LRT juga akan dikurangkan menjadi 50 peratus kapasiti penumpang saja.

Menurutnya lagi, sekiranya kes Covid-19 dapat diturunkan, kerajaan akan menimbang untuk melonggarkan SOP semula sekiranya terdapat keperluan.

“Seperti dulu, daripada SOP yang ketat PKP 1.0 bila keadaan terkawal turun kepada PKPB, kemudian turun lagi kepada PKPP yang lebih longgar.

“Apabila turun kes, kita akan buka semula, apabila naik kes kita tutup semula. Jadi buka tutup, buka tutup ini akan berterusan,” jelasnya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR