40 kematian semalam, kes aktif turun

Jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 sejak wabak itu menular di negara ini awal tahun lalu sehingga semalam meningkat kepada 29,769 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), angka itu meningkat setelah 40 lagi kes kematian, termasuk tujuh pesakit meninggal dunia sebelum menerima rawatan perubatan atau kes ‘brought in death’ (BID), dilaporkan semalam.

Keseluruhannya sehingga semalam terdapat 6,024 kes BID dilaporkan.

Menurut statistik KKM, Selangor merekodkan tujuh kematian semalam, menjadikan keseluruhannya 9,700 kes.

Sehingga semalam, jumlah kes aktif di negeri itu meningkat lagi kepada 16,310 kes berbanding 16,054 pada Isnin, dengan13,645 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,467 ditempatkan di PKRC; 1,107 dimasukkan ke hospital; dan 91 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 52 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor turut mencatat 732,619 kes positif, dengan 708,116 pesakit telah sembuh.

Sementara itu, Sarawak pula merekodkan enam kematian; diikuti masing-masing lima di Pulau Pinang dan Sabah; Terengganu (empat); masing-masing tiga di Kelantan dan Negeri Sembilan; dan masing-masing dua di Johor dan Perak.

Satu kes kematian masing-masing direkodkan di Kedah, Melaka, dan Kuala Lumpur, sementara tiada kes dilaporkan di Pahang, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Menurut KKM, jumlah kes aktif di seluruh negara semalam turun 640 kes kepada 65,316 berbanding 65,956 pada Isnin.

Daripada jumlah itu, 50,765 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 8,217 ditempatkan di PKRC; 5,789 dimasukkan ke hospital; dan 545 pesakit dirawat di ICU, dengan 264 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam 2,461,780 pesakit daripada jumlah kumulatif positif sebanyak 2,551,250 kes, telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR