40 kematian semalam, kes aktif naik

Empat puluh enam lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun berbanding 70 yang direkodkan dalam tempoh sama pada Selasa, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah kematian terbaharu itu termasuk lapan pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Angka kematian di seluruh negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kini sebanyak 29,091 kes, termasuk 5,887 kes BID.

Statistik laman sesawang KKM, COVIDNOW, menunjukkan Sarawak kekal mencatat kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 10 kes, namun angka itu turun berbanding 18 kes yang dilaporkan pada Selasa.

Kumulatif kematian di negeri itu kini 1,380 kes. Sehingga semalam, negeri itu mencatat 242,321 kes positif, dengan 233,970 pesakit telah sembuh.

Sementara itu, Kelantan merekodkan sembilan kematian, diikuti Johor (lapan); Sabah (empat); masing-masing tiga di Kedah dan Perlis; dan masing-masing dua di Melaka dan Pulau Pinang.

Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur pula masing-masing merekodkan satu kes, manakala tiada kes kematian dilaporkan di Pahang, Labuan dan Putrajaya.

KKM juga memaklumkan 54.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian itu melibatkan pesakit berusia 60 ke atas; 18 hingga 59 tahun (44.8 peratus); 12 hingga 17 tahun (0.2 peratus); dan 0 hingga 11 tahun (0.2 peratus).

Sebanyak 67.7 peratus daripada kematian itu juga melibatkan individu tidak divaksinasi; belum lengkap divaksinasi (21.0 peratus); dan lengkap divaksinasi (11.4 peratus).

Golongan lelaki mencatatkan 57.1 peratus daripada jumlah kematian dan 42.9 peratus lagi adalah wanita. Sebanyak 87.1 peratus pula melibatkan warganegara dan 12.9 peratus adalah rakyat asing.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 juga meningkat 298 kes susulan kenaikan jumlah jangkitan baharu sebanyak 5,284 kes semalam.

KKM melaporkan sehingga semalam jumlah kes aktif naik kepada 67,160 kes berbanding 66,862 pada Selasa.

Daripada jumlah itu, 51,856 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 9,008 ditempatkan di PKRC; 5,750 dirawat di hospital; dan 546 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 286 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kekal mencatat kes aktif tertinggi sebanyak 14,074 kes meningkat berbanding 13,945 yang direkodkan pada Selasa. Seramai 11,459 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 1,513 ditempatkan di PKRC; 1,007 dimasukkan ke hospital; dan 95 pesakit dirawat di ICU dengan 57 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga semalam, negara mencatat 2,481,267 kes positif, dengan 2,390,379 pesakit disahkan telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR