
Data 12 September 2021.
Sebanyak 91.3 peratus atau lebih 21.37 juta individu dewasa Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu sehingga semalam.
Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dikeluarkan hari ini, dalam tempoh itu juga 73.4 peratus atau lebih 17.17 juta individu dewasa lagi telah melengkapkan vaksinasi sama ada membabitkan vaksin dua dos atau dos tunggal.
Dalam tempoh itu hampir 38.5 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh negara.
Sehingga kini, hanya Lembah Klang yang merekodkan jumlah melebihi 100 peratus individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, manakala lima negeri Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Sabah, masih di bawah paras sasaran 60 peratus.
Kelima-lima negeri itu merekodkan antara 50.1 peratus dan 58.0 peratus individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.
Sementara itu, semalam sahaja sebanyak 227,476 dos diberikan di seluruh negara, membabitkan 76,346 penerima dos pertama dan 151,130 lagi melengkapkan suntikan masing-masing.