38 pesakit Covid-19 meninggal semalam, kes aktif meningkat lagi

Kes kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara sejak kebelakangan ini menunjukkan trend penurunan, walaupun jumlah kes aktif semakin meningkat.

Dalam tempoh 24 jam semalam seramai 38 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia, kedua terendah bulan ini, yang turut melibatkan lima kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah kematian terendah bulan ini direkodkan pada 7 November melibatkan 35 kes, sementara tertinggi dicatat pada 9 November sebanyak 78 kes.

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam seramai 29,978 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19, termasuk 6,058 kes BID.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang COVIDNOW hari ini, Terengganu merekodkan jumlah kematian tertinggi membabitkan seramai 12 pesakit, semalam.

Negeri itu turut merekodkan 2,840 kes aktif dengan 1,905 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 560 ditempatkan di PKRC; 352 dimasukkan ke hospital; dan 23 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Terengganu merekodkan 74,376 kes positif dengan 71,048 pesakit telah sembuh, dan 546 kematian, termasuk 56 kes BID.

Sementara itu, Perak merekodkan lima kematian; diikuti masing-masing empat kes di Kedah, Sarawak, dan Selangor; Sabah (tiga); Melaka (dua); dan masing-masing satu di Johor, Kelantan, Pahang, dan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Berdasarkan data KKM juga, jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara meningkat 851 kes semalam menjadi 69,485 kes, berbanding 68,634 pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 55,346 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 8,004 ditempatkan di PKRC; 5,606 dimasukkan ke hospital; dan 529 dirawat di ICU, dengan 261 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kekal merekodkan jumlah kes aktif tertinggi, meningkat 418 kes daripada 17,404 kepada 17,822 kes dalam tempoh 24 jam semalam. Daripada jumlah itu, 15,395 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,312 ditempatkan di PKRC; 1,032 dimasukkan ke hospital; dan 83 dirawat di ICU, termasuk 45 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kini merekodkan 738,914 kes positif dengan 712,905 pesakit telah sembuh, dan 9,727 pesakit meninggal dunia, termasuk 2,072 kes BID.

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga semalam, negara merekodkan 2,576,032 kes positif Covid-19, dengan 2,482,284 pesakit disahkan sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR