37 kematian termasuk 10 kes BID

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 37 pesakit di sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam.

Jumlah itu termasuk 10 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital atau dikategorikan sebagai kes ’brought in death’ (BID).

Sejak wabak Covid-19 menular di negara ini pada awal 2020 lalu hingga semalam, jumlah kematian terkumpul mencecah 32,347 kes, termasuk 6,573 kes BID.

Setakat ini tiada maklumat lanjut sama ada kes BID terbaharu itu turut melibatkan 238,620 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah.

KKM memaklumkan sembilan kes kematian itu dicatat di Johor menjadikan kumulatif sebanyak 3,986 kes, kedua tertinggi berbanding negeri-negeri lain, selepas Selangor yang mencatat 10,118 kes kematian.

Menerusi laman sesawang kendaliannya Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi, Johor kini merekodkan 301,544 kumulatif positif dengan 271,350 pesakit telah sembuh, dan 26,208 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif di Johor, 24,597 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 372 ditempatkan di PKRC; 1,207 dimasukkan ke hospital; dan 32 dirawat di unit rawatan rapi dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Johor akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi, manakala hari penamaan calon adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022. Seramai 2,597,742 pengundi akan terlibat dalam PRN itu.

Sementara itu, Selangor pula merekodkan tujuh kematian semalam, diikuti Kedah (enam); masing-masing empat kes di Perak serta Sabah; Pulau Pinang (tiga); Pahang (dua); dan masing-masing satu di Melaka, serta Labuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR