37 kematian, 69,261 kes aktif

Seramai 37 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun 10 kes berbanding 47 yang dilaporkan pada Selasa, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Angka itu menjadikan keseluruhan kematian akibat komplikasi Covid-19 sejak awal tahun lalu meningkat kepada 30,147 kes, termasuk 6,096 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID).

Menurut laman sesawang Covidnow, seramai tujuh pesakit meninggal dunia di Terengganu, menjadikan keseluruhannya 564 kematian direkodkan di negeri itu sejak awal tahun lalu.

Sehingga semalam, Terengganu mencatat 2,643 kes aktif, termasuk 1,705 yang menjalani kuarantin di rumah; 540 ditempatkan di PKRC; 371 dimasukkan ke hospital; dan 27 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing mencatat lima kes kematian; diikuti masing-masing empat di Kelantan, dan Selangor; tiga di Johor dan Perak; serta masing-masing dua di Kedah dan Pahang.

Sarawak dan Kuala Lumpur pula masing-masing merekodkan satu kes, sementara tiada kematian dilaporkan di Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, jumlah kes aktif meningkat lagi kepada 69,261 semalam, berbanding 68,625 pada Selasa – naik 636 kes, menyusul peningkatan jumlah jangkitan sebanyak 5,755 kes semalam berbanding 5,594 pada Selasa.

Daripada jumlah kes aktif itu, 55,705 pesakit dikuarantin di rumah; 7,584 ditempatkan di PKRC; 5,466 dimasukkan ke hospital; dan 506 dirawat di ICU dengan 270 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam kumulatif positif adalah sebanyak 2,597,043 kes, berbanding 2,503,427 kumulatif sembuh.

Kes aktif di Lembah Klang turut meningkat semalam kepada 24,106 kes, berbanding 23,986 yang dicatat pada Selasa, dengan 21,361 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,224 ditempatkan di PKRC; 1,396 dimasukkan ke hospital; dan 125 dirawat di ICU, termasuk 72 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan jumlah kumulatif positif di Lembah Klang kini mencecah 950,945 kes, dengan 918,339 daripada pesakit telah sembuh, dan 12,365 kes kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR