3,684 jangkitan baharu, tiada lonjakan kes selepas PRN Sarawak

Jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik lagi sebanyak 486 kes berbanding semalam, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu negara mencatat 3,684 kes baharu, berbanding 3,198 kes yang direkodkan semalam.

Jumlah itu, katanya menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,798,917 kes dengan sehingga semalam 2,723,599 pesakit telah sembuh dan 31,738 pesakit meninggal dunia.

Beliau juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam bagi seluruh negara adalah pada nilai 0.99.

Bagaimanapun, lima negeri mencatat Rt melebihi 1.00 di mana menurut pakar kesihatan nilai pada tahap itu membimbangkan kerana lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Menurut statistik dikongsi Dr Noor Hisham, kadar kebolehjangkitan di tiga negeri – Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya – masing-masing pada Rt 1.08, manakala Melaka dan Negeri Sembilan (Rt 1.02).

Negeri-negeri lain mencatat nilai Rt antara 0.83 dan 0.99.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan KKM mendapati tiada lonjakan kes selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak, perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu yang lalu.

“Sehingga 9 Januari 2022 sebanyak 75.6 peratus penduduk Sarawak telah menerima vaksin lengkap dan 62 peratus telah menerima dos penggalak.

“Didapati tiada lonjakan kes selepas PRN Sarawak, Perayaan Hari Natal dan Tahun baru. Kes harian, kemasukan ke hospital dan ICU menurun. Kes kematian turut menurun,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR