366,295 kanak-kanak lengkap 2 dos

Sebanyak 71,736 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun semalam, tatkala ibu bapa hanya mempunyai tidak sampai sebulan sahaja lagi sebelum kerajaan menamatkan pemberian dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Jumlah itu termasuk 57,496 kanak-kanak yang menerima dos kedua dan 14,240 dos pertama.

Ini menjadikan keseluruhannya seramai 366,295 atau 10.3 peratus kanak-kanak telah lengkap menerima dua dos dan 1,403,498 atau 39.5 peratus lagi menerima dos pertama.

13 April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata penamatan itu dibuat susulan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

Bagaimanapun katanya keputusan itu tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei ini.

Berita berkaitan: Dos pertama vaksin Covid-19 bagi PICKids ditamatkan selepas 15 MeiĀ 

Sementara itu, sejak 24 Februari 2021 hingga semalam, lebih 69.57 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing, dengan 15,970,302 atau 67.9 peratus daripada individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

Manakala 22,960,578 atau 97.6 peratus daripada populasi dewasa menerima dos kedua dan 23,237,257 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi PICK Remaja yang bermula awal September tahun lalu, seramai 2,871,425 atau 92.3 peratus daripada mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap dua dos vaksin, manakala 2,973,462 atau 95.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 16 April 2022. – Sumber Covidnow KKM

BERITA BERKAIT
POPULAR