
Data sehingga 2 Januari 2023.
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 2 Januari 2023) turun ke paras terendah sejak Oktober 2020 lalu, menurut data laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi.
Dalam tempoh itu sebanyak 360 kes harian baharu direkodkan, berbanding 420 yang dicatat pada Ahad. Jumlah jangkitan harian terendah sebelum ini dilaporkan sebanyak 354 kes pada 9 Oktober 2020.
Bagaimanapun, KKM tidak memberi pecahan jumlah kes semalam yang melibatkan varian baharu Omicron BA.5.2 dan BF.7. Kedua-dua varian Covid-19 itu yang mendominasi 80 peratus daripada jangkitan di China, telah dikesan di Malaysia sehingga 31 Disember 2022 lalu.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 227 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 79 kes (individu yang lengkap divaksinasi); empat kes (individu belum lengkap divaksinasi); dan 50 kes (individu tidak divaksinasi).
Jangkitan baharu semalam, turut melibatkan 24 kanak-kanak, meningkat berbanding 22 yang dicatatkan pada Ahad.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,027,457 dengan 4,978,792 pesakit telah sembuh, termasuk 423 yang pulih semalam.
Sementara itu, KKM juga memaklumkan sehingga semalam 11,807 kes masih aktif, turun lagi berbanding 11,871 yang dilaporkan pada Ahad, manakala 11,197 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (11,232 pada Ahad). Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, seramai 580 pesakit menerima rawatan di hospital, turun berbanding 609 yang direkodkan pada Ahad.
Seramai 30 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (sama seperti Ahad), dengan 16 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (sembilan pada Ahad).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 109 (1,545,322);
- Kuala Lumpur – 40 (466,508);
- Sabah – 10 (406,572);
- Johor – 19 (397,815);
- Sarawak – 23 (323,650);
- Kedah – 32 (318,122);
- Pulau Pinang – 21 (306,999);
- Kelantan – 15 (259,868);
- Perak – 17 (238,520);
- Negeri Sembilan – 14 (230,588);
- Pahang – 15 (182,400);
- Melaka – 21 (144,298);
- Terengganu – 11 (132,749);
- Putrajaya – 11 (32,166);
- Labuan – 0 (22,917); dan
- Perlis – 2 (18,961).
Sementara itu, seorang pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di Sarawak semalam. Tiada kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 meningkat kepada 36,858 mangsa, termasuk 7,854 kes BID.