[KEMAS KINI] 360 kematian direkod hari ini

Negara hari ini sekali lagi mencatatkan jumlah tertinggi kematian akibat Covid-19 apabila 360 pesakit dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Lime negeri merekodkan jumlah tertinggi kematian dengan Selangor mencatatkan 221 pesakit, diikuti Kuala Lumpur (41 pesakit); Melaka (20 pesakit); Perak (17 pesakit); dan Pulau Pinang (15 pesakit).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sejak pandemik melanda negara ini pada Mac tahun lalu kepada 10,749 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kematian itu, 64 membabitkan bukan warganegara Malaysia, di mana 29 daripadanya meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital dan dikategorikan sebagai ‘Brought In Death’ (BID).

Pada masa sama beliau berkata jumlah pesakit yang disahkan sembuh turut meningkat kepada 17,055 berbanding 16,323 kes yang dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 1,026,398 kes.

“Sehingga kini 225,393 kes masih aktif, Seramai 1,095 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 571 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu, sebanyak 18,688 kes baharu dilaporkan di seluruh negara menjadikan kumulatif 1,262,540 kes. Daripada jumlah itu, 2,928 kes membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Katanya, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 401 kes atau 2.1 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

“Manakala sebanyak 18,287 kes atau 97.9 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 4,460 kes atau 23.9 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam juga sebanyak 39 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhan 3,938 kluster dengan 2,725 telah ditamatkan dan 1,213 lagi masih aktif.

Daripada jumlah kluster baharu itu 18 membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (15), masing-masing dua kluster kumpulan berisiko tinggi (Sarawak dan Kuala Lumpur) dan pusat tahanan (perak dan Pahang), dan masing-masing satu kluster keagamaan (Kedah) serta pendidikan tinggi (Kelantan).

Empat kluster tempat kerja dikesan di Selangor, Kuala Lumpur (tiga), masing-masing dua di Johor, Pahang dan Sarawak, dan masing-masing satu di Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kluster komuniti pula dikesan, masing-masing lima di Kelantan dan Pahang, Sarawak (dua) dan masing-masing satu di Terengganu, Selangor dan Kedah.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata Perlis menjadi negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu sebanyak 1.47, sementara RT bagi Malaysia adalah 1.08.

Kelantan mencatatkan nilai RT 1.25, Sabah (nilai RT 1.18) dan Pulau Pinang (nilai RT 1.18). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR