36 kematian semalam, 52,720 pesakit jalani kuarantin di rumah

Jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam turun lagi kepada 36 kes berbanding 44 kematian yang dilaporkan pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu tujuh pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Angka itu menjadikan keseluruhan kes kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kepada 28,912 kes, termasuk 5,846 kes BID.

Daripada statistik yang dikeluarkan menerusi laman sesawang COVIDNOW hari ini, Sarawak merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 12 kes, diikuti Pulau Pinang (lima); Terengganu (empat); dan Kedah (tiga).

Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat dua kematian, manakala Perak dan Selangor masing-masing merekodkan satu kes.

Sementara itu, jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara turun kepada 67,969 kes berbanding 69,153 yang dilaporkan pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 52,720 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 8,735 ditempatkan ke PKRC, 5,952 dirawat di hospital dan 562 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 326 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kumulatif positif sejak awal tahun lalu sehingga semalam meningkat kepada 2,466,307 kes, manakala 2,374,761 pesakit pula telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR