
Sebanyak 36 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, 18 Februari 2022.
Seramai 36 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk 11 daripadanya melibatkan kes yang belum sempat dirawat di hospital atau kes ’brought in death’ (BID).
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 32,276 kes, termasuk 6,551 kes BID.
Sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan kes kematian semalam membabitkan Johor, Sabah, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Johor mencatat kes kematian tertinggi sebanyak 11 kes termasuk tiga kes BID, menjadikan kumulatif sebanyak 3,969 kes.
Sehingga semalam, Johor mencatat 296,185 kumulatif positif, dengan 263,410 pesakit telah sembuh dan 28,806 kes masih aktif, ketiga tertinggi selepas Selangor dan Sabah.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 26,985 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 246 (PKRC); 1,543 (hospital); dan 32 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu Sabah dan Selangor masing-masing mencatat enam kes kematian menjadikan kumulatif masing-masing kepada 2,893 dan 10,106 kes.
Selangor menjadi negeri tertinggi mencatat kumulatif positif iaitu sebanyak 881,952 kes, dengan 818,020 pesakit telah sembuh dan 53,826 kes aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, 52,193 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 471 (PKRC); 1,128 (hospital); dan 34 dirawat di ICU, dengan 18 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kedah pula merekodkan empat kematian diikuti masing-masing tiga kes di Perak serta Pulau Pinang, dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Sehingga semalam, negara mencatat 233,065 kes aktif, bertambah 15,284 kes berbanding 217,781 yang direkodkan pada Khamis.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 219,696 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,476 (PKRC); 7,658 (hospital); dan 235 pesakit dirawat di ICU dengan 132 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 18 Februari 2022.